Syukur Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur untuk hidup di muka bumi ini. Ok, terus kepada topik : Journey to become a firefighter (1)
Januari 2012, saya dijemput untuk menghadiri ujian fizikal, pancaindera dan kecergasan yang dikelola oleh pihak Bomba dan Penyelamat di Ibupejabat Bomba dan Penyelamat Putrajaya dan dipantau penuh oleh SPA.
Pada tarikh pemilihan, seramai kira-kira 50 orang lelaki dan wanita dipanggil untuk diuji. tepat jam 8.30 pagi, pendaftaran bermula. Borang tertentu diedar dan disemak oleh SPA. Selepas itu, taklimat ringkas diberi oleh ketua penguji untuk menerangkan ujian yang bakal kami hadapi. Kemudian, calon lelaki dan wanita diasingkan terlebih dahulu sebelum memulakan ujian pemeriksaan anggota badan.
Saya bersama calon lelaki yang lain diarahkan untuk membuka t-shirt dan kasut dan melipat seluar hingga ke paras lutut. Ujian pertama adalah Body Mass Index (BMI). Mengikut syarat, setiap calon mestilah mempunyai BMI antara 19 hingga 26. Bagaimana cara untuk kira BMI? Anda boleh semak melalui kalkulator BMI dalam link dibawah;
http://malaysia.kurnia.com/Lifestyle/HealthBMICalculator/Default.aspx
Pada ketika itu, terdapat beberapa calon gagal untuk mencapai BMI yang dikehendaki. Majoritinya terlebih berat.. dan perkara yang saya rasakan rugi adalah salah seorang calon yang gagal mempunyai susuk tubuh badan yang mantop.. tapi sayang kantoi terlebih berat. Ruginya.. kalau tak dah boleh jadi aset berguna untuk bomba.
Selepas itu, ukuran dada diambil oleh panel bertugas. Syarat bagi calon lelaki ialah ukuran dada mestilah tidak kurang dari 81cm dalam keadaan diam dan perlu menarik nafas lebih 5cm dari ukuran asal. Pada masa ini juga ada calon yang kantoi sebab badan keping sangat.. tapi mereka diberi peluang oleh penguji dengan melakukan tekan tubi dalam usaha untuk mengembangkan dada sedikit untuk tempoh masa singkat. Malangnya, calon-calon ini terkandas dalam ujian ini.
Selesai ukuran dada, saya diuji dengan ujian rabun warna. Mata kiri dan kanan diuji secara bergilir-gilir bagi menentukan samada saya rabun warna atau sebaliknya. Kemudian, saya diuji dengan ujian rabun jauh. Penglihatan mestilah sekurang-kurangnya vision 6/9 untuk lulus. Apa maksud vision 6/9? 6/9 adalah barisan minimum (garisan hijau dalam gambar) yang perlu dibaca dengan betul dan hanya 3 minimum kesalahan diberi untuk setiap calon.
Untuk pengetahuan, ujian ini dianggap sebagai 'killer' bagi ramai calon kerana kebanyakannya mempunyai masalah kerabunan atas faktor banyak melihat skrin komputer dan televisyen. Para penguji yang bertugas juga adalah professional dalam mencari sebarang unsur penipuan yang cuba dibuat oleh calon. Jadi jangan mimpi untuk memakai contact lens untuk lulus ujian. Mata calon akan disuluh dengan lampu suluh untuk memeriksa samada memakai contact lens atau tidak. Kemudian, barulah kita diuji dengan carta yang diletakkan 20 kaki dari lokasi kita berdiri. Syukur, saya melepasinya tanpa sebarang kesilapan :)
Setelah itu, ujian kecacatan anggota badan pula dibuat. Seluruh anggota badan diperiksa oleh panel professional. kami diarah untuk cangkung separuh, tangan didepa lurus ke hadapan. Tangan yang bengkok, bahu yang senget, dll.. akan diklasifikasikan sebagai gagal. Kemudian, kami diarah untuk merapatkan tapak kaki untuk melihat samada kita kengkang, tempang atau sebaliknya.
Kemudian, saya diuji dengan ujian ringkas, iaitu cara berjalan dan berkawad. Calon diminta berjalan sejauh sebuah gelanggang badminton dan patah balik. Nampak mudah, tetapi ia bagai sebuah tekanan kerana terpaksa berjalan separuh bogel sambil diperhatikan oleh puluhan mata.
Selesai berjalan dan berkawad, maka pemeriksaan pancaindera dan fizikal telah disempurnakan. Dari 50 calon, hanya kurang 20 calon melepasi kesemua ujian dan akan menghadapi ujian terakhir, iaitu ujian kecergasan.
Ujian 1 : Angkat berat 54kg (lelaki), 46kg (wanita)
Sebelum ujian, anggota yang bertugas menunjukkan demo dalam cara untuk mengendalikan setiap ujian. Setiap calon mempunya 3 kali cubaan untuk setiap ujian. Bila nama saya dipanggil, saya cuba untuk fokus dan mengangkat beban seberat 54kg hingga paras bahu (syarat untuk lulus). Malangnya, saya gagal dalam cubaan pertama. Saya gagal untuk menggunakan pergelangan tangan dengan betul. Cubaan kedua, saya gagal lagi. Tangan saya terlepas dari genggaman kuat dan pemberat menjadi senget sebelah. Pada cubaan ketiga, ia merupakan 'gamble' dalam hidup saya.. Dengan sekuat tenaga, saya melakukan snatch dengan cepat dan berjaya melepasi ujian ini! Syukur!!
Ujian 2 : Panjat Tali 4.75m
Ujian ini juga dikira sangat mencabar. Tanpa teknik yang betul, maka sangat sukar untuk memanjat tali kira-kira satu setengah tingkat tinggi. Pada asasnya, terdapat satu cara paling mudah dan berkesan untuk memanjat tali, iaitu teknik 'J-Hook'. Jom tengok contoh dan demo;
Ujian 3 : Menegakkan Tangga Menyelamat 90 darjah
Dalam ujian ini, calon diminta untuk menegakkan tangga berbaring sehingga tegak 90 darjah. Ia memerlukan kekuatan tangan dan juga ketahanan kaki kita untuk menjulang dan bergerak menolak tangga sehingga tegak.
Ujian 4 : Memanjat Tangga setinggi 16.5m
Ini merupakan ujian terakhir untuk para calon. Kebiasaannya, calon-calon yang berjaya sampai ke tahap ini dianggap telah melepasi kesemua ujian kerana ia adalah ujian yang mudah. Tujuan utama ujian ini dibuat adalah semata-mata untuk melihat teknik menaiki tangga dan juga menguji samada kita gayat dengan kawasan tinggi atau sebaliknya.
Selesai kesemua ujian, maka berakhirlah ujian pancaindera, kecergasan dan fizikal bomba.
Bersambung...
jadi kamu dapat pergi ke peringkat seterusnya ke????
ReplyDelete